fbpx

Kos sara hidup tinggi penyumbang kes cerai di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian di Selangor.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.

“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.

“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain pada tahun lalu.

Tambah beliau, peningkatan jumlah cerai juga adalah disebabkan akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.

“Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkan) mengenai adakah kerajaan negeri akan meneruskan penyediaan dana sokongan kepada isteri dan anak-anak khususnya sementara menunggu perintah mahkamah, Mohammad Fahmi menegaskan pihak akan menyemak semula kepada Lembaga Zakat Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI