fbpx

Hasrat Amir Jahari juara AJL38

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU Hasrat ciptaan dan nyanyian Amir Jahari dinobatkan sebagai juara AJL38. - FOTO FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Menepati ramalan, Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Kemenangan itu melayakkan Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, 32, membawa pulang wang tunai RM100,000 bersama trofi utama.

Sekali gus, kemaraan dalam pertandingan yang membariskan 12 karya terbaik sepanjang 2023 membuktikan sentuhan berbisa penyanyi merangkap komposer itu selepas 13 tahun berjuang dalam arena muzik.

Dalam ucapannya, Amir dalam nada sebak menitipkan penghargaan buat kedua orang tuanya, juri dan peminat.

“Terima kasih kepada ibu bapa saya, kepada juri, kepada peminat. Terima kasih pada semua yang terlibat. Anugerah ini untuk anda semua,” ujar Amir.

Sementara itu, wang tunai RM50,000 untuk naib juara AJL 38 pula menjadi milik Sutera dendangan Aisha Retno yang juga komposer serta penulis lirik bersama MFMF.

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, itu turut diangkat sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik menerusi persembahan menakjubkan apabila terbang setinggi 30 kaki.

Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul sekali gus melayakkanya membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Selain vokal, pemenang AJL edisi 37 itu turut meraih satu lagi kategori iaitu Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang menawarkan RM12,000.

Lagu lain yang mara ke pentas akhir AJL 38 adalah Jangan Mati Rasa itu nyanyian dan ciptaan Aina Abdul, Santai (Naqiu/Faizal Tahir), Inilah Jalannya (Masdo/Noh Salleh) serta Bintang (Hael Husaini/Hael Husaini).

Turut bertanding lagu Darah dialunkan Marsha Milan gubahan Naim Daniel & Firdaus Rahmat, Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat) dan Kucuma (Wany Hasrita & Afieq Shazwan/A Ramlee & Ezra Kong).

Manakala finalis lain ialah Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/ Amylea) dan Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain/ Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat).

Persembahan 12 finalis AJL 37 diadili 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang muzik iaitu Datuk Wah Idris, Datuk Acis, Azlan Abu Hassan, Jari, LY, Noryn Aziz, Ad Samad, Efry Arwis, Adlin Aman Ramlie serta Datuk Mokhzani Ismail sebagai ketua juri.

Penjurian dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili lebih awal, manakala baki 20 peratus bersandarkan persembahan pada malam kemuncak.

Hampir empat dekad penganjurannya, AJL bermatlamat memartabatkan industri muzik tanah air terutama memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.

Diangkat sebagai acara muzik tahunan, AJL 38 yang mengetengahkan Muzikaverse sebagai tema tahun ini dikendalikan Sherry Alhadad bersama Alif Satar selaku hos.

Malam kemuncak itu turut diserikan persembahan pembukaan yang menggandingkan Shila Amzah bersama Vanessa Reynauld diiringi Sissy Iman sebagai pemain keyboard dengan tiga pemuzik wanita iaitu Naimi Daini (dram), Tasneem Bolhasan (bass) serta Anis Kalisa (gitar).

Persembahan penutup pula menyaksikan kemunculan Dayang Nurfaizah, Datuk Zainalabidin dan Ella.

Keputusan Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38

Juara AJL 38: Hasrat (Amir Jahari)

Naib Juara: Sutera (Aisha Retno)

Tempat Ketiga: Jangan Mati Rasa (Aina Abdul)

Vokal Terbaik: Aina Abdul

Persembahan Terbaik: Aisha Retno (Sutera)

Penyanyi Pilihan Alha Alfa: Aina Abdul – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI