GLASGOW – Atlet sensasi Belanda, Femke Bol mempamerkan prestasi dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod dunia 400 meter (m) dalam dewan untuk menjuarai acara itu pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2024 di Glasgow, Scotland awal pagi semalam.
Menariknya, kontinjen Belanda turut meraih kedudukan 1-2 selepas Bol berjaya mencatat masa 49.17 saat (s) untuk menewaskan rakan senegara, Lieke Klaver di kedudukan kedua, menakala pelari Amerika Syarikat, Alexis Holmes di tempat ketiga.
Bol yang kini berusia 24 tahun berkata, kemenangan yang diraih itu tidak semudah yang disangka kerana cabaran diberikan oleh kesemua pelari di perlumbaan akhir cukup sengit.
“Ini adalah perlumbaan sukar dan saya perlu berikan yang terbaik di atas trek. Pujian wajar diberikan kepada jurulatih saya kerana sentiasa yakin dengan keupayaan untuk tampil lebih pantas berbanding sebelum ini.
“Malah, saya juga sangat gembira apabila Klaver berjaya mendapat status naib juara. Bukan mudah untuk meraih kemenangan 1-2 pada mana-mana kejohanan olahraga, tetapi kami berjaya lakukannya,” kata Bol yang sebelum ini mencipta rekod 400m dalam dewan dunia dengan catatan 49.24s.
Sementara itu, Klaver mengakui sangat puas apabila kembali menemui prestasi cemerlang dan harap momentum yang sama dapat diteruskan pada kejohanan akan datang.
“Saya sangat gembira apabila dapat menggenggam pingat meskipun hanya kilauan perak. Sebelum perlumbaan saya sentiasa fikir adakah saya mampu melakukannya, tetapi segalanya terjawab selepas berjaya lepasi garisan penamat.
“Saya baru sahaja tamatkan pengajian di universiti dan kejayaan meraih perak memberi kegembiraan berganda buat saya,” kata atlet berusia 26 tahun itu. – AGENSI