KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan kerajaan tidak melaksanakan kawalan harga barangan dengan berkesan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kenaikan harga barang adalah disebabkan fenomena global yang turut memberi kesan kepada peniaga.
“Terdapat kiraan (pencatutan) daripada segi `margin’ dan kiraan daripada segi `mark-up’. Kita kira ikut formula pencatutan dan kemudian tengok jika ada kenaikan beri notis. Mereka perlu tunjuk keseluruhan kos dan jika kos bahan mentah (memang) tinggi, tidak berlaku pencatutan. Rakyat terasa sangat kerana bahan mentah kita diimport.
“Berapa lama merdeka kita masih mewarisi keadaan ini. Kita (kerajaan) sedang membuat penyelarasan gaji. Gaji tak meningkat, (harga) barang meningkat itu yang terasa sangat.
“Jadi bukan kita tidak melaksanakan kawalan harga, tetapi kerana (harga) barang memang naik. Itu fenomena global. Negara yang eksport kepada kita naikkan cukai atau tak nak eksport lagi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung penguatkuasaan akta sedia ada yang didakwa masih menyaksikan harga barang tidak dapat dikawal.
Terdahulu, Fuziah memaklumkan, sebanyak 5,904 kes dengan nilai kompaun dan denda berjumlah RM1,466,600 dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, undang-undang antipencatutan terpakai ke atas semua perniagaan yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan di Malaysi termasuk pengilang, pengedar, pemborong, peruncit dan penyedia perkhidmatan.
“Berkenaan restoran, hotel, bazar Ramadan, festival makanan semua kita kawal dan kuat kuasa. Kalau ada apa-apa aduan kita akan tengok, tetapi apabila kita tengok ‘margin’ pengeluaran itu tidak melebihi formula pencatutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE