fbpx

Daim, keluarga gagal cabar siasatan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daim.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya gagal dalam permohonan bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Daim, 86, dan keluarganya selaku pemohon.

Permohonan terbabit difailkan Daim melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.

Turut dinamakan sebagai pemohon ialah isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Mereka memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Menurutnya, pegangan saham cair beliau saja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

Beliau juga pemilik Malaysian French Bank dan kemudian UMBC (kini RHB), selain mempunyai kawalan serta kepentingan besar dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (Sime Darby), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia, di mana 10 peratus kepentingan dalam Nestle Malaysia hari ini dikatakan bernilai kira-kira RM3 bilion.

Selain itu, Daim mengesahkan memberi kenyataan kepada SPRM pada Februari tahun lalu, namun tidak mendengar khabar daripada agensi itu lagi hingga Jun 2023.

Pada masa sama, beliau mendakwa tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora.

Empat bulan selepas pernyataan direkodkan iaitu pada 7 Jun 2023, satu Notis SPRM menurut Seksyen 36 (1)(a) Akta SPRM dikeluarkan kepada Daim dan keluarga yang memerlukan maklumat semua aset serta sumber pendapatan yang dikeluarkan dari Malaysia dari 1997 hingga kini perlu diberikan dalam tempoh 30 hari.

Menurut Daim, notis itu dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kerana mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kesalahan bagi suapan di bawah Seksyen 23 SPRM Akta dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI