KUALA LUMPUR – Penyanyi Aina Abdul mendedahkan pengalaman mengembara ke luar negara mencetuskan inspirasi memilih musim luruh sebagai konsep persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), malam tadi.
Kata pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 30, pepohon serta fenomena semula jadi yang luar biasa itu mempunyai simbolik untuk diterjemahkan dalam pelbagai cara.
“Tahun lalu saya banyak berkunjung ke luar negara dan ketika di tempat orang saya banyak memerhati sekeliling yang turut memberi ilham untuk saya berkarya.
“Kalau edisi AJL lalu saya terapkan konsep awan iaitu panorama yang saya lihat sewaktu dalam pesawat, kali ini saya bawa musim luruh ke pentas AJL38 yang saya rasakan sebagai satu ungkapan perasaan.
“Rasa itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara, bahkan paling utama musim luruh ini mempunyai simbolik yang kuat mengenai cinta,” katanya ketika ditemui selepas AJL38 yang diadakan di Axiata Arena, malam tadi.
Aina yang juga komposer dan penulis lirik Jangan Mati Rasa Itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 dan trofi.
Lebih manis apabila penyanyi yang memilih tema ‘tree of life’ dengan latar musim luruh mempertahankan trofi Vokal Terbaik bersama ganjaran RM12,000 yang diraih dalam edisi AJL tahun lalu.
Pada masa sama, Aina Abdul tetap menzahirkan kesyukuran apabila Jangan Mati Rasa Itu mengungguli tempat ketiga yang disifatkan sebagai rezeki indah.
Malah katanya, sebagai peminat lagu Hasrat, dendangan yang dinobatkan sebagai juara pertandingan berprestij itu dirasakan cukup bagus serta sangat dekat dengannya.
“Sejujurnya saya adalah peminat lagu Hasrat dan apabila orang bertanya lagu apa yang akan menjuarai AJL 38, saya akan jawab Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari.
“Walaupun saya penyanyi yang biasa menyampaikan dendangan bernada tinggi, tetapi jiwa saya sebenarnya lebih kepada lagu sentuhan Amir.
“Cara saya menulis lagu pun bermula dengan gitar sebab saya suka karya sebegini,” ujarnya.
Mengenai gaun berhias seakan ranting kayu sentuhan pereka Melinda Looi, persalinan yang turut menyaksikannya terapung pada ketinggian 30 kaki itu dihasilkan dalam tempoh dua minggu. – KOSMO! ONLINE