fbpx

2023 tahun paling selamat sektor penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat Japan Airlines terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Januari lalu. - AFP

PARIS – Satu laporan baharu mendapati, 2023 menjadi tahun paling selamat bagi sektor penerbangan komersial meskipun terdapat lonjakan besar dalam jumlah pesawat penumpang.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), satu-satunya kemalangan maut pesawat penumpang pada tahun lalu adalah nahas sebuah pesawat ATR yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan dari Nepal, Yeti Airlines.

Nahas penerbangan domestik itu telah mengorbankan seramai 72 orang.

Menurut IATA, terdapat 29 lagi nahas yang berlaku pada 2023 tetapi ia tidak melibatkan sebarang kematian atau kemusnahan pesawat.

Pada 2022, secara keseluruhan, terdapat 42 nahas udara di mana lima daripadanya menyebabkan kematian sehingga meragut 158 ​​nyawa.

Statistik IATA bagaimanapun tidak merangkumi penerbangan perniagaan, ketenteraan, persendirian, penyelenggaraan atau latihan.

Berdasarkan anggaran kiraan IATA, nahas udara yang tidak melibatkan kematian pada tahun lalu menyebabkan kerugian yang bernilai sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM4.75 juta). Ia bersamaan dengan 10 peratus daripada nilai pesawat.

Tambah persatuan itu, pada 2023, ia menyaksikan risiko kadar kematian yang terendah dalam catatan laporannya. 

“Secara purata, seseorang perlu melakukan perjalanan melalui udara pada setiap hari selama 103,239 tahun sebelum mengalami nahas maut,” kata IATA.

Ujar IATA, kadar nahas udara adalah rendah walaupun jumlah penerbangan pada tahun lepas meningkat 17 peratus kepada 37.7 juta.

“Walaupun melakukan perjalanan udara adalah antara aktiviti paling selamat yang boleh dilakukan oleh seseorang, masih ada ruang untuk diperbaiki,” kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.

Beliau selain itu memetik dua nahas udara yang berlaku pada bulan pertama tahun ini.

Pada 2 Januari lalu, kesemua penumpang sebuah pesawat Airbus A350 milik syarikat penerbangan Japan Airlines, selamat dipindahkan selepas ia terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Seramai 379 penumpang dan kru berjaya diselamatkan tetapi lima daripada enam orang di dalam pesawat Pengawal Pantai yang bertembung dengan pesawat Japan Airlines terbabit terbunuh.

Dalam pada itu, di Amerika Syarikat, satu panel tingkap sebuah pesawat Boeing 737 MAX milik syarikat penerbangan Alaska Airlines tercabut ketika berada di udara, namun ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius. 

Kejadian berlaku pada 5 Januari lalu itu mengakibatkan pesawat tersebut terpaksa kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Portland untuk mendarat cemas. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

IATA mewakili kira-kira 320 syarikat penerbangan yang menyumbang 83 peratus daripada trafik udara global. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI