LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool perlu memanfaatkan situasi sukar yang dialami Brentford yang sedang berjuang di kelompok bawahan liga untuk mendapatkan khidmat penyerang pasukan itu.
Legenda Liverpool, Stan Collymore mengakui bahawa pemain sayap Brentford, Bryan Mbeumo memiliki gaya permainan yang sangat sesuai di Anfield, malah dia juga dianggap pengganti yang baik untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan Mohamed Salah.
Beberapa kelab dari Arab Saudi dilapor kembali menghidupkan minat mereka untuk mendapatkan Salah selepas gagal melakukannya pada musim panas lalu dan Liverpool mungkin tidak akan menolak sekiranya menerima tawaran lumayan kali ini.
“Saya fikir pasukan teratas sepatutnya memberikan perhatian lebih dekat kepada Bryan Mbeumo, saya menyukainnya. Ia mungkin menghairankan, tetapi Mbeumo adalah pemain kegemaran saya di EPL dan saya berpendapat dia mempunyai kualiti.
“Setiap kali saya menyaksikannya, dia membuat larian yang sangat bagus, menahan bola dengan sangat baik, fizikalnya kuat dan dia sangat membantu rakan sepasukannya.
“Jika Salah benar-benar meninggalkan Anfield musim panas ini, saya fikir Liverpool sepatutnya mempertimbangkan pemain nombor 19 Brentford,” katanya.
Liverpool pada masa ini memberikan keutamaan kepada pencarian pengurus selepas Jurgen Klopp membuat kejutan apabila mengumumkan dia bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.
Pengganti Klopp pastinya mempunyai rancangan perpindahan mereka sendiri apabila tiba di Anfield, namun menandatangani pemain sayap kanan mungkin menjadi perkara yang mendesak jika Salah berlepas. – AGENSI