fbpx

Warga emas dihentak, dipijak jiran akibat perselisihan faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
May (kanan) ketika sidang akhbar di ibu kota hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Wanita warga emas tempatan menerima empat jahitan di kepala selepas dibelasah lelaki yang merupakan jiran hadapan rumahnya di sebuah kondominium Danau Kota, di sini, 19 Januari lalu.

Mangsa, Lau Sam Kheng, 62, berkata, pergaduhan mulut berlaku antara dia dan lelaki berkenaan selepas dia meluahkan tidak mempunyai tuah kerana berjumpa dengannya di laluan koridor.

Katanya, lelaki itu merakam video dan menyuruhnya keluar dari rumah sebelum menarik rambut dan menghentak kepalanya ke dinding ketika membuka pintu rumah sekitar pukul 2 petang.

“Jiran itu menghentak saya beberapa kali ke dinding hingga jatuh ke lantai lalu dia memijak kepala dan menendang saya beberapa kali sehingga berdarah,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Up, Jalan Puchong, di sini, hari ini.

Menurut anak perempuan mangsa, May, 33, lelaki terbabit pernah meminta ibunya melakukan perkara tidak senonoh ketika berada di dalam lif dua minggu sebelum kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Cawangan Parti Bersama Malaysia Jabatan Perkhidmatan dan Aduan, Ong Seong Lu berkata, pihak keluarga tidak berpuas hati kerana ibu mereka turut disabit kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

“Mangsa hanya membaling selipar ketika dirakam dan sama sekali tidak melakukan kekasaran lain ketika kejadian.

“Setelah itu, lelaki itu juga mengeluarkan surat saman terhadap warga emas itu sebanyak RM300,000 dan mendakwa mangsa mengganggu keselamatan anak dan isterinya,” ujarnya.

“Setakat ini, pihak keluarga masih menunggu keputusan mahkamah dan berharap ibu mereka mendapat keadilan,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Tony Tan berkata, kejadian memukul warga emas tidak sewajarnya berlaku bahkan ia boleh diselesaikan secara baik. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI