fbpx

Siak sempat ajar pemandu Myvi dua kalimah syahadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustaza menunjukkan lokasi kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 76.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, hari ini. Foto ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Siak Masjid Mukim Pahi di sini, sempat mengajar dua kalimah syahadah kepada pemandu kereta Perodua Myvi yang tersepit selepas terlibat kemalangan di Kilometer 76.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.

Ismail Mat Yaacob,65, berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja selesai melaungkan azan zuhur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan masjid.

Katanya, dia keluar dan terkejut melihat sebuah Perodua Myvi terbabas di kawasan parkir masjid manakala kereta Nissan March berada di seberang jalan.

“Saya melihat pemandu Perodua Myvi berada dalam keadaan tersepit dan seorang wanita yang sedang memangku kanak-kanak perempuan dalam kereta itu sudah tidak sedarkan diri.

“Saya sempat ajar pemandu kereta itu untuk mengucap dua kalimah syahadah sebelum tinggalkan mangsa bersama beberapa penduduk kampung yang lain kerana ingin menunaikan solat zuhur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mustaza Che Amat, 56, berkata, dia sedang berada di rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Sebaik sahaja selesai membuat panggilan kecemasan, saya menerima arahan untuk turut membantu menghantar mangsa ke Hospital Sultan Ismail Petra memandangkan saya juga pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Pahi,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini kira-kira pukul 1.40 petang, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI