PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berakhir hari ini menggariskan lebih 80 resolusi sebagai panduan bagi melaksanakan agenda pemerkasaan bumiputera.
Resolusi itu diperolehi menerusi libat urus dikendalikan 10 kluster mencakupi pelbagai aspek yang dibentangkan selama tiga hari bermula Khamis lepas.
Antara resolusi yang di bawa termasuk menetapkan satu badan untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di mana ia dikemukakan oleh kluster TVET.
Bagi kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan pula, antara resolusi yang digariskan ialah mengukuhkan sistem pendidikan Islam, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar berkata, apa yang penting bukan jumlah resolusi, sebaliknya bagaimana perinciannya diteliti untuk resolusi itu dilaksanakan.
“Setiap kluster mempunyai purata resolusi sekitar lapan dan lebih. Maknanya daripada 10 kluster, ada lebih 80 resolusi. Kita merasakan yang penting bagaimana resolusi ini dapat dilaksanakan.
“Pada hemat saya, dua kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi di mana sekretariatnya adalah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sendiri sebagai agensi yang melaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE