MELBOURNE – Seorang wanita berdepan situasi memalukan apabila lamarannya ditolak teman lelaki semasa siaran langsung rancangan radio di Australia, lapor portal berita New York Post semalam.
Dalam rancangan bual bicara pagi paling popular di Melbourne, seorang pendengar wanita dikenali sebagai Carly dengan berani melamar teman lelakinya selama lima tahun, Brad melalui panggilan telefon.
Lamaran itu dibuat semasa rancangan Fifi, Fev & Nick yang bersiaran secara langsung di Melbourne.
Ia merupakan tradisi Ireland yang mana wanita dibenarkan melamar lelaki pada tanggal 29 Februari.
Bagaimanapun, apabila teman lelakinya mendengar lamaran itu, dia terus menolaknya.
“Sudikah awak berkahwin dengan saya?” lamar Carly.
Selepas berhenti seketika, Brad terus menolaknya.
“Jelas sekali, awak bergurau.
“Saya tidak mahu kelihatan seperti saya tidak bersyukur atau apa-apa. Awak tahu saya sayangkan awak. Entahlah, saya rasa agak terkejut sekarang,” kata Brad sebelum panggilan itu ditamatkan. – AGENSI