fbpx

Rawat sendi, urat guna suhu -160 darjah Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pusat ProPain turut dilengkapi gimnasium untuk para pelanggan.

RAMAI tidak menyedari bahawa sakit belakang yang kronik boleh mengakibatkan seseorang itu lumpuh atau cacat kekal seumur hidup.

Malah, pesakit tahap kritikal berisiko maut sekiranya tidak dirawat secara rapi dan menyeluruh.

Lazimnya, tulang belakang dikaitkan dengan beberapa penyakit seperti slipped disc, artritis dan spondylosis.

Namun, kebanyakan pesakit masih memandang remeh masalah itu dan enggan mendapatkan rawatan di hospital atau pusat pakar bertauliah.

Ironinya, ia kelak bukan saja menjejaskan aktiviti harian pesakit, malah mereka berisiko menghidap tumor tulang belakang.

Oleh itu, pemulihan senaman dan fisioterapi amat diperlukan bagi mencegah masalah tersebut di peringkat awal.

Pakar Sakit Intervensi Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Selangor yang juga doktor penasihat sebuah pusat fisio, Dr. Mohd. Shahir Anuar berkata, rawatan fisioterapi dan rehabilitasi secara menyeluruh amat penting terutama dalam memperkuatkan struktur otot dan tulang belakang pesakit.

Ujarnya, terdapat tiga kategori utama yang biasa dihadapi golongan itu bermula pada tahap biasa iaitu mengalami sakit dan lenguh.

“Bagi tahap sederhana, ia melibatkan pesakit yang sukar untuk duduk, sekali gus memerlukan pemantauan doktor atau pakar untuk dirawat.

“Tahap kritikal pula bagi pesakit yang sudah tidak dapat berjalan atau bergerak sehingga perlu menjalani pembedahan tulang belakang,” katanya yang juga doktor penasihat di Pusat Fisio dan Rehabilitasi Sukan, ProPain.

Tambahnya, rawatan segera perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam bagi mengelak saraf utama termasuk tunjang dan akar terhimpit.

Jika keadaan itu berlaku, pesakit berisiko tinggi untuk mengalami lumpuh dan cacat kekal antara lima hingga 10 peratus.

“Kesemua struktur saraf ini amat lembut dan boleh mengundang maut jika tidak segera dirawat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pusat Fisio dan Rehabilitasi Sukan, ProPain memandang serius isu kesihatan berkenaan yang boleh dirawat dan dicegah dari peringkat awal.

DR. MOHD. SHAHIR memiliki pengalaman luas berkaitan masalah sakit belakang.

Menurut Pengarah Urusannya, Khairi Sulaiman, pusat yang mula dibuka sejak Ogos tahun lalu itu menawarkan pemulihan senaman dan fisioterapi kepada semua lapisan masyarakat.

Beroperasi di Emira Residences, Seksyen 13, Shah Alam, pusat itu dilengkapi sepenuhnya pelbagai peralatan terapi berteknologi canggih dari luar negara.

“Penubuhan pusat ProPain ini memfokuskan kepada hasrat mahu melestarikan gaya dan budaya hidup sihat rakyat di negara ini.

“Masyarakat perlu menyedari kepentingan fisioterapi dan rehabilitasi terutama melibatkan sakit tulang belakang selain leher, sendi dan ligamen.

“Masalah itu tidak boleh dipandang enteng kerana bukan saja dihadapi ahli sukan atau atlet, malah semua golongan termasuk kanak-kanak serta warga emas,” ujarnya.

Selain memfokuskan rawatan dan terapi fizikal, pusat itu menyediakan rehabilitasi sukan dan senaman kesihatan secara menyeluruh.

Ia meliputi pengurusan kesakitan, peralihan terapi peribadi dan peralatan berasaskan klinikal yang terkini.

KHAIRI

Sementara itu, ahli terapi kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi ProPain, Syarif Nurhidayat Muzhaimey berkata, peralatan digunakan pihaknya termasuklah mesin ‘Cryo Chamber’ buatan Slovakia yang menggunakan gas nitrogen.

“Teknologi terkini itu berfungsi merawat kesembuhan sendi dan urat dengan kaedah menurunkan suhu tubuh badan sehingga -160 darjah Celcius dengan tempoh maksimum selama 180 saat. Namun, tempoh ini bergantung kepada keperluan pesakit atas nasihat juruterapi.

“Selain itu, kami memiliki mesin ‘Cryo Localized’ iaitu hanya bersasar kepada anggota tertentu atau setempat seperti tangan,” jelasnya.

ProPain turut mempunyai modaliti rawatan K-Laser yang berfungsi mengaktifkan frekuensi laser bagi memulihkan semula sel otot badan.

Teknologi buatan Itali itu berelemenkan tahan sakit dan maksimum rawatannya selama 10 minit.

Tambah Syarif, pihaknya menawarkan rawatan gelombang elektronik magnetik iaitu ‘Shock Wave’.

“Peralatan ini mampu mengaktifkan fungsi otak dan proses memulihkan otot terutama pesakit yang mengalami kecederaan. Kami juga mempunyai semua kelengkapan senaman dan kecergasan seperti gimnasium kepada pelanggan dengan dibimbing ahli terapi bertauliah,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat ProPain boleh melayari platform Instagram @propaincentre.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI