MANCHESTER – Manchester United dipaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Nottingham Forest pada aksi pusingan kelima Piala FA yang berlangsung di City Ground awal pagi semalam.
Meskipun menguasai sepenuhnya permainan, namun skuad The Red Devils terpaksa menunggu sehingga ke penghujung perlawanan bagi menjaringkan gol kemenangan menerusi pemain tengah, Casemiro.
Pengurus United, Erik Ten Hag mengakui gembira dengan kemenangan itu, lebih-lebih lagi mereka baru sahaja mengalami kekalahan 1-2 kepada Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu.
“Setiap kemenangan sangat penting untuk kami. Bagaimanapun, kami tidak mahu meraikannya terlalu lama kejayaan melangkah ke suku akhir Piala FA kerana perlu berdepan aksi cukup penting dalam saingan liga nanti.
“Hari ini (semalam) semua pemain menunjukkan karakter dan kemampuan masing-masing. Oleh itu, saya harap mereka terus menampilkan aksi seperti ini dalam setiap perlawanan, bukan hari ini (semalam) sahaja,” katanya.
Bekas pengendali Ajax itu menjelaskan, mereka berada dalam situasi sukar ketika ini apabila terpaksa meletakkan pemain-pemain pada posisi bukan kegemaran, namun masih mampu untuk mencatat kemenangan.
“Kami sudah menemui cara untuk mendapatkan kemenangan. Secara jujur, kami menampilkan aksi yang konsisten sepanjang 2024 walaupun kadangkala perlu meletakkan pemain pada posisi berbeza,” ujar Ten Hag. – AGENSI