SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberikan tempoh sebulan dalam membawa cadangan model baharu memajukan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) selaras dengan keperluan menuju negara maju dan terhebat di dunia ini.
Katanya, KSM dan Perkeso digesa supaya tidak terikat dengan struktur pendidikan yang ada sebaliknya melihat keperluan semasa tenaga buruh.
“Kadang-kadang kita terlalu terikat dengan peraturan lama dan hal-hal baru tidak sampai kepada tenaga kerja kita.
“Kita mahu Malaysia hebat, maju dan mendapat bersaing dengan negara-negara maju. Namun tidak akan tercapai sekiranya tidak buat perubahan dan menggali instrumen baru (upskilling).
“Jadi, dalam tempoh satu bulan, apa cadangan khusus Perkeso dan bagaimana kejutan baru dalam bentuk latihan dan upskilling jauh lebih hebat apa dibuat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancakan Karnival Kerjaya Kesuma Madani MyFuture Jobs Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan terbaharu tersebut juga boleh diaplikasikan kepada pekerja Perkeso sendiri yang berusia 30 hingga 40 tahun.
Anwar menjelaskan, ini dapat menambah kemahiran dan penguasaan mereka dalam AI seterusnya meningkatkan dan mengangkat mutu kerja mereka.
“Beri dia (kakitangan Perkeso) program upskilling dan pastikan berikan contoh yang baik seterusnya mencungkil bakat baru (dalam diri kakitangan).
“Pilih mana-mana pakar yang ada dan pinjam mereka sekejap supaya berikan taklimat kepada pengurusan Perkeso agar dapat menguasai bidang AI contohnya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tidak menafikan tumpuan besar diberikan kepada TVET dengan kerjasama Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Namun, saya tidak fikir Malaysia boleh melonjak ke depan dengan hanya pertahankan apa yang ada.
“Sistem pendidikan, tenaga kerja dan jurutera dan TVET kita memang baik tetapi tidak cukup dalam persaingan dengan perubahan yang sangat cepat,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE