fbpx

Peniaga kuih menangis, anak dijel, denda buat aksi ‘superman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Nuraiman dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Tindakan seorang pemuda melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Nuraiman Rosman, 23, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menunggang motosikal dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain kira-kira pukul 2.15 pagi di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) lampu isyarat Bukit Piatu, daerah Melaka Tengah di sini, 3 September lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis telah menahan tertuduh menerusi Op Samseng Jalanan selepas pemuda itu didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

Tertuduh turut melakukan aksi menundukkan kepala separas pemegang sambil memotong kenderaan lain secara ‘zig zag’.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan perlu membantu ibunya berniaga kuih, selain sudah insaf.

Ibu tertuduh yang turut hadir pada prosiding itu juga dilihat gagal mengawal emosi apabila menangis teresak-esak sehingga terpaksa diminta keluar dari kamar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa , Muhammad Naim Abd. Jalil bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan lesen B2 tertuduh dibatalkan.

Selepas mendengar rayua kedua belah pihak, Mazana kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara satu hari dan membayar denda sebanyak RM5,000 atau empat bulan penjara, jika gagal bayar.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI