fbpx

PDRM kenang 11 tahun tragedi Lahad Datu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsikan PDRM di Facebooknya hari ini. - Foto IHSAN PDRM

PETALING JAYA – Hari ini, genap 11 tahun insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada 1 dan 2 Mac 2013, yang mana telah mengorbankan 10 nyawa perwira negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan di Facebook berkata, jasa wira-wira negara yang tewas ketika mempertahankan kedaulatan tanah air itu akan terus dikenang dalam ingatan.

“Sesungguhnya, peristiwa penuh tragedi itu tidak mungkin akan luput daripada ingatan kita semua, khasnya warga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Hinggalah ke hujung nyawa, merekalah wira-wira negara berpegang teguh pada janji, tiada siapapun boleh merampas tanah tumpah darah kami ini!,” katanya.

Seramai dua wira terkorban ketika pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah iaitu Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud.

Sementara itu, wira-wira yang terkorban ketika pertempuran di Kampung Simunul, Semporna, Sabah adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel dan Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit.

Seterusnya, turut terkorban, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran dan Koperal Mohd. Azrul Tukiran.

“Damailah wahai perwira negara di negeri yang abadi.

“Terima kasih jua atas segala jasa, budi dan pengorbanan yang ditaburkan.

“Pastinya akan kami kenang dan perjuangkan buat selama-lamanya. Al-Fatihah dan Salam takziah,” ujarnya.

Pada Februari 2013, negara ini digemparkan dengan pengganas Sulu yang menceroboh perairan Sabah secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo sehingga menyebabkan 10 wira negara gugur, manakala 68 pengganas Sulu ditumpaskan.

Tragedi berdarah itu diisytiharkan tamat pada 10 April tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI