PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa lebih 600,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlepas Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) untuk menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan bermula hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PATI berkenaan boleh tampil ke mana-mana pejabat Jabatan Imigresen (JIM) serta membawa sebarang dokumen berkaitan untuk permohonan mereka diproses.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan mempunyai masa kira-kira 10 bulan bulan dari sekarang sehingga penghujung Disember ini untuk berbuat demikian dan akan dikenakan jumlah kompaun minimum bagi beberapa kesalahan dibawah Akta Imigresen tanpa pemenjaraan.
“Dari 1.1 juta, kita tengok pada sudut yang lepas, yang berakhir dengan verifikasi dan berjaya untuk bekerja kira-kira 50 peratus.
“Maknanya lebih kurang 600,000 yang lain ini patut mengambil peluang (untuk pulang). Kalau mereka terlepas sehingga penghujung Disember, kita anggap mereka sebagai PATI dan ketika itu kita akan ambil tindakan penguatkuasaan ke atas mereka.
“Mereka yang tak memilih untuk bekerja di sini, boleh pilih program ini untuk pulang ke negara asal,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 848 orang PATI sudah mendaftar untuk menyertai PRM.- KOSMO! ONLINE