TIGA nama jurulatih berprofil tinggi, Alexandre Polking, Bojan Hodak dan Nafuzi Zain dilihat sebagai calon paling sesuai untuk mengetuai Selangor bagi harungi kempen penuh mencabar di Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) musim depan.
Mengambil kira penyertaan di pentas tertinggi bola sepak Asia, nama bekas pengendali Tajikistan, Petar Segrt turut dicanang selepas mengemudi negara berkenaan cipta sensasi layak ke suku akhir pada penyertaan sulung di Piala Asia.
Bagaimanapun, hasrat itu mungkin terlaksana sekiranya Gergasi Merah bersedia untuk membuat pelaburan besar ketika penyokongnya mula menaruh harapan besar untuk melihat daya saing pasukan khususnya di pentas Asia.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid, berkata buat ketika ini penolong jurulatih, Nidzam Jamil boleh dianggap individu terpenting buat pasukan khususnya untuk memberikan gambaran jelas kepada pengendali baharu.
“Import pun sudah masuk dan sudah pasti agak terkejut apabila dapat tahu tentang perkara ini. Mungkin ada yang ingat pengurusan yang pecat, tetapi situasi sekarang dia (Tan Cheng Hoe) yang lepaskan jawatan.
“Tentang penggantinya, mungkin Bojan Hodak sesuai dan ada yang mengatakan Nafuzi juga calon tepat untuk ketuai pasukan. Saya boleh bersetuju untuk katakan jurulatih itu nanti perlu biasa dengan tahap Asia kerana kita pun akan bermain di tahap Asia.
“Kita perlu terus melihat ke depan dan jurulatih berkaliber perlu dibawa masuk. Selangor juga agak sedikit bernasib baik kerana adanya Nidzam yang boleh bantu kepada jurulatih yang dipilih nanti,” katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Harimau Malaya berjaya mencapai kata persetujuan dengan Gergasi Merah untuk menamatkan kontrak lebih awal kerana akan mengalas jawatan pengendali dengan kelab Thailand.
Untuk rekod, Nafuzi kini masih bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), namun kedudukannya masih jadi tanda tanya memandangkan kelab itu sedang dihimpit isu kewangan, manakala Hodak yang begitu sinonim dengan bola sepak di Malaysia kini sedang mengemudi kelab Indonesia, Persib Bandung.
Berdasarkan data transfermarkt.com, Polking kini masih berstatus ejen bebas sejak dipecat sebagai pengendali Thailand, November lalu, begitu juga dengan Segrt yang meninggalkan Tajikistan.