PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak bersetuju dengan penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.
Beliau sebaliknya menegaskan, isu yang timbul berhubung perkara itu bukan soal terdapat sembilan makanan lain turut dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara atau bak kut teh tidak semestinya menggunakan daging babi.
“Ini adalah soal apakah relevannya untuk memasukkan makanan yang kebanyakan penyediaanya mempunyai unsur asas babi yang kita tahu sangat sensitif dalam kalangan majoriti penduduk Malaysia terutama umat Islam ke dalam senarai makanan warisan negara.
“Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan di dalam warta itu adalah bak kut teh, bukannya ‘seafood’ kut teh, ayam kut teh dan bak itu bermaksud daging yang secara khususnya untuk daging babi di dalam sebutan Hokkien.
“Ya memang bak kut teh boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak bak kut teh yang dikatakan halal dan dijual di pasaran.
“Jawapannya hampir semua bak kut teh yang dijual mempunyai unsur daging babi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, King Sing mengingatkan Dr. Muhamad Akmal agar tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis dan meminta Ketua Pemuda UMNO itu merujuk kamus berkenaan definasi ‘bak’
Menurut beliau, ‘bak’ membawa maksud daging secara umum, bukan babi sahaja dan herba yang digunakan adalah halal, manakala jenis daging yang digunakan boleh tukar.
“Boleh tambahkan ayam, maka ia akan menjadi ‘chi kut teh’. Jika tambahkan makanan laut, ia menjadi ‘seafood kut teh’. Jika anda tambah kambing, ia menjadi ‘kambing kut teh’,” kata King Sing.
Dr. Muhamad Akmal seterusnya mempersoalkan apakah pada King Sing bercakap mengenai perkara yang sensitif bagi bangsa Melayu khususnya dikatakan ektremis.
“Jika begitu yang ektremis adalah orang seperti kamu yang tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat beragama Islam di negara ini. Ektremis dan bodoh.
“Kami tetap kekal dengan pendirian kami agar YAB PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh memecat orang seperti ini dalam barisan Kabinet Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE