fbpx

Milenial akan menjadi ‘generasi paling kaya dalam sejarah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MILENIAL dilaporkan berada di laluan untuk menjadi generasi paling kaya dalam sejarah. – AGENSI

LONDON – Generasi milenial digambarkan boros dan membe­lanjakan pendapatan untuk barangan bukan keperluan seperti membeli kopi mahal serta pelbagai produk online di samping berdepan ramalan masa depan kewangan yang ‘menyedihkan’.

Bagaimanapun, satu kajian baharu seperti dilaporkan akhbar The Guardian kelmarin me­nunjukkan mereka berada di landasan untuk menjadi ‘generasi terkaya dalam sejarah.’

Generasi Milenial merujuk kepada kelompok yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996. Generasi tersebut berada dalam barisan untuk mendapat ‘durian runtuh’ dalam tempoh 20 tahun akan datang, demikian menurut penyelidikan oleh firma ejen hartanah Knight Frank.

Ini kerana, golongan milenial akan mewarisi kekayaan dan aset yang dikumpulkan oleh generasi sebelum mereka.

Pengagihan kekayaan global diramal beralih antara rantau dengan perubahan lebih besar berlaku antara generasi.

Di Amerika Syarikat sahaja, pertukaran pemilikan kekayaan itu akan menyaksikan aset kese­luruhan berjumlah AS$90 trilion (RM428.49 trilion) berpindah tangan antara generasi terdahulu kepada milenial.

“Ini akan menjadikan milenial yang kaya sebagai generasi terkaya dalam sejarah,” kata Knight Frank dalam laporan kekayaan tahunannya ke-18.

Penyelidikan tersebut mendapati bahawa 75 peratus generasi milenia menjangkakan kekayaan mereka meningkat pada 2024, berbanding 53 peratus untuk generasi baby boomer (mereka yang lahir antara 1946 hingga 1964), 56 peratus generasi X (1965 hingga 1980) dan 69 peratus dalam generasi muda Z (1997 hingga 2012).

Sementara menunggu harta warisan mereka, ramai milenial terus bergelut dari sudut kewangan akibat beberapa siri kejutan ekonomi termasuk kemelesetan pada 2008 diikuti oleh masalah kewangan lain disebabkan oleh pandemik ­Covid-19, Brexit dan perang di Ukraine.

Berikutan kenaikan sewa, generasi millenial membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk kos perumahan dan menghadapi cabaran besar untuk membeli rumah sendiri atau mengumpulkan wang bagi tujuan persaraan.

Situasi demikian mencetuskan imej bahawa milenial seolah-seolah telah menghabiskan wang mereka untuk tujuan berhibur dan membeli barangan mahal.

Hakikatnya, kuasa kewangan masa depan mereka ditentukan melalui warisan daripada gene­rasi terdahulu, termasuk harta benda.

Ketua penyelidikan global Knight Frank, Liam Bailey berkata, peralihan dalam kekayaan mungkin membantu usaha dalam pelaburan dan tingkah laku yang mapan.

“Generasi milenial nampaknya sedar mereka perlu mengurangkan perbelanjaan. Sebanyak 80 peratus responden lelaki dan 79 peratus wanita mengatakan bahawa mereka cuba mengecilkan perbelanjaan masing-masing,” katanya.

Menurut Frank, pengumpulan kekayaan dalam kalangan generasi Z pula menunjukkan berlaku peningkatan 38 peratus dalam kalangan individu wanita bernilai ultra tinggi sejak sedekad lalu dan trend tersebut dijangka berterusan.

Individu bernilai ultra tinggi merujuk kepada mereka yang memiliki aset lebih AS$30 juta (RM142.83 juta).

Generasi milenial Britain masih menanggung ‘parut ekonomi’ krisis kewangan 2008 dan sedang bergelut untuk mengejar taraf hidup generasi lebih tua, demikian menurut hasil kajian terbaru oleh Yayasan Resolusi pula.

Hartanah, pelaburan kewangan dan kereta adalah antara sumber kekayaan yang paling signifikan.

Antara barangan lebih kecil, kajian itu mendapati pasaran beg terpakai telah menguncup, manakala jualan jam tangan mewah di tiga rumah lelongan utama mencatat pendapatan berjumlah AS$611 juta (RM2.94 bilion) pada 2023, meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya.

Menyentuh lelongan mewah, penyanyi rap Kanada, Drake pernah membayar AS$1 juta (RM4.76) untuk cincin yang dahulunya dimiliki oleh mendiang Tupac Shakur dalam lelongan hip-hop oleh firma Sotheby’s pada Julai tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI