LANGKAWI – Beberapa pengamal media dilihat mula berkampung di hadapan Hospital Sultanah Maliha, di sini yang menempatkan Raja Norway, Raja Harald V.
Tinjauan wartawan di situ mendapati, ada sebahagian daripada mereka yang telah berada di situ sejak kelmarin.
Mereka juga mendakwa pihak polis mula mengetatkan kawalan dan tidak membenarkan sebarang rakaman dibuat di dalam kawasan hospital.
Sementara itu, sumber menyatakan pesawat khas yang akan membawa pulang Raja Harald V dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini.
Namun tidak dapat dipastikan sekiranya baginda sudah dibenarkan pulang.
Terdahulu, akhbar ini memetik laporan media antarabangsa, raja tertua Eropah itu kini dirawat di Malaysia kerana mengalami jangkitan semasa lawatan peribadinya di sini.
Sepanjang ketiadaannya, tugas baginda dipangku oleh Putera Mahkota Haakon. – KOSMO! ONLINE