fbpx

Mahkamah: Representasi belum muktamad, Rosmah kemuka butiran baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSMAH

KUALA LUMPUR – Representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), belum dimuktamadkan oleh pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya perlu meneliti beberapa butiran dan fakta baharu yang dibangkitkan oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum memutuskan representasi tersebut.

Ahmad Akram berkata, perkembangan baharu itu disertakan dalam beberapa surat yang dihantar melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan lanjut.

Sehubungan itu katanya, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menelitinya kerana isu yang dibangkitkan adalah kompleks manakala beberapa saksi perlu tampil membantu siasatan.

“Representasi itu masih belum diputuskan kerana pelbagai isu perlu diteliti sebelum kami memuktamadkannya,” ujar beliau.

Oleh yang demikian, Ahmad Akram mencadangkan prosiding penghujahan diteruskan pada tarikh akan datang bagi menjimatkan masa mahkamah sementara menunggu pihak pendakwaan memutuskan representasi tersebut.

Sementara itu, peguam Joshua Tay yang mewakili Rosmah tidak membantah cadangan tersebut.

Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan 4 Julai ini bagi mendengar penghujahan permohonan Rosmah untuk menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan agar mahkamah dimaklumkan status representasi ketiga isteri bekas Perdana Menteri yang dihantar pada 12 Disember 2023 selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan oleh AGC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI