HANOI – Seorang lelaki di Hanoi menemui seekor lintah hidup sepanjang 6 sentimeter melekat pada kerongkongnya, lapor portal berita VNExpress semalam.
Penemuan itu berlaku sebulan selepas dia mengambil segenggam rumput dan mengunyah rumput berkenaan untuk merawat luka pada tangannya.
Tangan lelaki berusia 53 tahun itu luka semasa dia mengendalikan perangkap tikus.
Baru-baru ini, dia berasa sakit pada kerongkong dan merasakan ada objek bergerak-gerak di dalamnya.
Apabila lelaki itu meletakkan cermin pada mulutnya, dia melihat ada objek hitam di dalam tekaknya.
Dia kemudian pergi ke Hospital Kebangsaan Endokrinologi untuk menjalani pemeriksaan selepas batuk berdarah .
Doktor menemui objek asing melekat berhampiran trakea lelaki itu.
Selepas dibius, doktor bertindak mengeluarkan lintah hidup dari dalam kerongkong pesakit. – AGENSI