SUNGAI PETANI – Seorang lelaki direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan insiden seorang anggota polis maut terkena tembakan dalam operasi di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik, dekat sini semalam.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Sungai Petani, di sini hari ini.
Terdahulu, suspek dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 11 pagi tadi sebelum dibawa keluar sejam kemudian selepas proses reman selesai.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Akhbar semalam melaporkan seorang anggota polis dari cawangan khas (SB) berusia 39 tahun maut selepas terkena tembakan di dada semasa mengikuti operasi pencerobohan dan pemburuan haram di Kompartmen 124 hutan berkenaan. – KOSMO! ONLINE