fbpx

Kumpul RM18,000 dalam 4 jam untuk bawa pasukan taekwondo dari Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik Safuan ketika para atlet itu terkandas di Lapangan Terbang Sandakan, kelmarin.

PETALING JAYA – Senyuman terukir pada wajah lima peserta taekwondo yang mewakili Sabah apabila berjaya sempat sampai di Kuala Lumpur setelah terlepas penerbangan mereka, kelmarin.

Lebih menyentuh hati, tiket penerbangan baharu para atlet tersebut adalah hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia sehingga berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM18,000 dalam masa empat jam.

Tabung dana tersebut telah dimulakan oleh seorang wanita Ranau, Riniejene Anthony di akaun Facebooknya bagi membantu enam orang termasuk seorang pengiring untuk terbang ke Kuala Lumpur.

Katanya, meskipun hanya menjadi orang tengah yang mengutip dana buat para atlet tersebut, tetapi atas sikap kemanusiaan dan naluri seorang ibu, dia berasa terpanggil untuk membantu merealisasikan impian remaja-remaja itu.

“Sebagai seorang netizen, saya lebih suka betulkan dan cari penyelesaian daripada menunding jari sesama kita. Dana ini tidak akan berjaya kalau saya buka tanpa ada yang menyumbang.

“Di Sabah ada dua aliran taekwondo. Tetapi masalah utama yang selalu mereka hadap adalah dana. Hampir kesemua kos adalah atas tanggungan sendiri, ibu bapa, jurulatih atau penaja kalau ada.

“Ada dana yang diberikan oleh pihak tertentu tapi masih kecil untuk fasiliti dan kos-kos untuk menyertai sesuatu pertandingan. ‘Sabahan’ banyak bakat tetapi selalu terlepas peluang sebab peluang yang kurang,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Leonell Bellvin yang berjaya raih pingat emas pertama buat pasukan Sabah menerusi acara individu dalam Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Hwarang Warrior 2024.

Lima remaja itu adalah sebahagian daripada 17 atlet dari Sabah yang dijadualkan berentap di pentas Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Hwarang Warrior 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut perkongsian ketua jurulatih pasukan tersebut dikenali sebagai Safuan Fathy Amran, jadual penerbangan pasukan itu terpisah kepada dua kumpulan ekoran ada ibu bapa yang telah membeli tiket lebih awal.

Jelas Safuan yang telah berada di Kuala Lumpur bersama atlet lain, lima remaja beserta seorang pengiring itu adalah kumpulan yang menaiki penerbangan sambungan dari Kota Kinabalu ke Sandakan sebelum ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan yang ditangguhkan menyebabkan para atlet itu terlepas tiket yang dijadualkan seterusnya.

“Ada ibu bapa cuba sedaya upaya nak kasi juga anak mereka ikut. Walaupun terpaksa bayar lebih RM3,000 harga tiket untuk keesokan harinya.

“Ada juga ibu bapa lain, pasrah dan menarik diri sebab kos mengikut kejohanan ini cecah RM1,500 belum termasuk makan minum.

“Kami yang telah sampai Kuala Lumpur ni turut sedih sebab saya melatih mereka tanpa henti. Kami bukan orang senang, kami ini peserta yang datangnya daripada daerah termiskin di Malaysia,” luahnya.

Dalam pada itu, menurut perkembangan terkini, kumpulan atlet terbabit berjaya meraih pingat emas pertama menerusi Leonell Bellvin dalam acara individu.

Difahamkan para atlet yang berusia tujuh hingga 17 itu bakal berada di Kuala Lumpur bagi kejohanan tersebut sehingga Ahad ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI