SEGAMAT – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan sentiasa bekerjasama dengan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementarian Pertahanan (Kementah) bagi memastikan proses permodenan aset pasukan keselamatan itu sentiasa dilaksanakan sejajar dengan kepesatan teknologi dunia.
Menurut Panglima Tentera Darat, Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, isu terbabit menjadi cabaran utama TDM memandangkan ada beberapa aset terutamanya aset tempur kini telah berusia.
“Meskipun terdapatnya beberapa aset yang baharu, kita masih lagi perlu menggantikan aset yang telah usang.
“Usaha memodenkan ‘aset kapital’ TDM sememangnya perlu kerana aset tempur yang lama seperti kenderaan perisai memerlukan kos yang tinggi untuk proses selenggara selain agak terkebelakang dalam teknologi.
“Selain mendapatkan aset baharu, kita juga perlu mengekalkan operasi aset sedia ada,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar sambutan Hari Tentera Darat Ke-91 di Dataran Segamat pagi ini.
Tambah beliau, kerjasama yang baik daripada pihak kerajaan perlu berterusan agar program memodenkan dan selenggaraan aset dapat berjalan lancar selain perolehan peruntukan yang besar.
“Saya juga ingin maklumkan yang kekuatan TDM kini berada dalam keadaan 80 peratus yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga secara puratanya,” ujarnya.
Terdahulu, buat julung-julung kalinya Hari Tentera Darat Ke-91 diadakan di Segamat membawa tema Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga, disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang di Dataran Segamat pagi ini. – KOSMO! ONLINE