fbpx

JTM anjur pertandingan CITEC perkasa TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta CITEC menerangkan binaan projek pada sesi lawatan di Auditorium ADTEC Melaka.

MELAKA – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menganjurkan Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) sebagai inisiatif merealisasikan pertumbuhan ekonomi mampan melalui elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta digitalisasi dalam reka cipta.

Pengarah ADTEC Melaka, Dr. Norhuda Salim berkata, sebanyak 246 permohonan telah diterima, namun hanya 222 pasukan berjaya ke peringkat akhir di bawah tema “Kelestarian Inovasi, Teras Kemajuan TVET Madani”.

Katanya, Majlis Perasmian CITEC 2024 itu akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada 7 Mac ini di Auditorium ADTEC Melaka.

“Pertandingan ini merupakan acara tahunan JTM sejak tahun 2013 bagi mewujudkan persaingan idea daya cipta ke arah melahirkan graduan berkualiti dan memenuhi kehendak industri.

“Tema kali ini kita memfokuskan kepada kebolehpasaran produk dan menerapkan konsep 3R (kurangkan, kitar semula, guna semula),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, kesemua projek yang dibina akan menjalani proses saringan dan dinilai oleh panel berpengalaman iaitu pensyarah Institusi Pengajian Tinggi, pakar industri dan pegawai pengiktirafan Harta Intelek (MyIPO).

Ujarnya, para peserta yang terlibat terdiri daripada pemain industri sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuklah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), agensi luar, sekolah menengah dan sekolah rendah.

“Pertandingan CITEC 2024 terbahagi kepada enam kategori iaitu Mekanikal, Elektrik dan Elektronik; Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi; Sivil dan Bangunan; Teknologi Awam, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Teknologi Makanan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CITEC 2024, Ts. Dr. Azli Amin Ahmad Raus berkata, para peserta akan turut dinilai berdasarkan aspek keaslian, sumbangan penggunaan, gaya demonstrasi, potensi komersial dan mesra kitar semula.

“Bukan hanya dari perspektif teknikal, tetapi mereka juga harus menumpukan kepada kepuasan pelanggan melalui kreativiti persembahan, poster dan komunikasi”.

“Semua peserta akan diberikan sijil penyertaan, manakala pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai dan pingat platinum, emas, perak dan gangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI