fbpx

Hafizh Syahrin tekad julang JDT Racing Team

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafiz Syahrin akan beraksi bersama pasukan JDT Racing Team dengan menggunakan jentera Ducati Panigale V4R pada sidang media di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad untuk memahat nama Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim ini dengan memenangi kedudukan podium.

Pelumba berusia 29 tahun itu merasakan ARRC sebagai tempat permulaan baharu buatnya bersama JDT Racing Team yang pertama kali menceburi dunia permotoran.

Katanya, walaupun ada pihak yang beranggapan bekas pelumba MotoGP itu mundur ke belakang dengan menyertai ARRC pada musim ini, Hafizh Syahrin mempunyai pandangan berbeza.

“Sebenarnya, ramai yang menetapkan harapan dan sasaran kepada saya kerana pengalaman saya (dalam MotoGP).

“Namun apabila saya beralih kepada Asia Pasific Racing Championship, ramai mengatakan saya turun pangkat. Pada saya, ini permulaan baharu bersama saya dan JDT Racing Team, menjadi sebahagian daripada keluarga JDT,” katanya.

Pelumba yang mendapat julukan El Pescao akan memulakan kembaranya bersama JDT Racing Team pada aksi pertama kejohanan ARRC yang membuka tirai pada 15 Mac hingga 17 Mac ini di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

Katanya, segala persiapan menjelang pusingan pertama itu berjalan lancar selepas mengadakan latihan di Litar Sepang, baru-baru ini dengan menunggang motosikal baharu model Ducati Panigale V4R.

“Sejujurnya sepanjang karier, saya belum pernah menunggang motosikal V4R, apa yang diberitahu oleh ketua mekanik, Loris Caroli kelebihan motosikal itu terletak kepada sistem brek.

“Pada sesi latihan di Sepang, memang dapat rasakan perbezaannya berbanding motosikal lain yang pernah saya tunggang selain sistem suspensi yang baik ketika mengambil selekoh,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizh Syahrin menganggap laluan JDT untuk mencipta kemenangan berliku apabila dicabar pelumba hebat yang lain antaranya juara ASB 1000 musim lalu, Markus Reiterberger, Zaqhwan Zaidi dan pelumba senior negara, Azlan Shah Kamaruzaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI