PETALING JAYA – Terdedah kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.
Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan, sel badan juga boleh tercedera dan berlaku keradangan ekoran strok haba.
“Cuaca sangat panas sekarang. Strok haba boleh mendatangkan komplikasi serius,” jelas PHM menerusi hantaran di Facebook.
Oleh itu PHM mengingatkan supaya ibu bapa atau penjaga, tidak membiarkan anak-anak bermain di luar sepanjang hari.
“Semasa tempoh cuti sekolah ini, jangan biarkan anak bermain diluar sepanjang hari dan jangan tinggalkan mereka dalam kenderaan tanpa pengawasan,” ujar PHM.
Semalam Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius terutama di utara Semenanjung dan Sabah, minggu ini. – KOSMO! ONLINE