PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi negeri Sarawak berkuat kuasa sehingga Ahad ini.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, ia berdasarkan analisis model-model cuaca yang menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di tengah dan selatan Sarawak,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, MetMalaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius, terutamanya di utara Semenanjung dan Sabah.
“Namun, hujan berserta ribut petir masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di pedalaman dan pantai barat Semenanjung,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE