GEORGE TOWN – Polis menahan 97 individu termasuk 20 warga emas menerusi 14 serbuan di sekitar negeri ini, Februari lalu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihak polis telah melancarkan Op Limau 2024 selama 10 hari bermula 5 Februari hingga 15 Februari lalu bagi membanteras aktiviti perjudian dalam bangunan dan judi di tempat bebas.
Menurutnya, sebanyak 14 serbuan dilaksanakan sepanjang tempoh operasi melibatkan 10 serbuan judi dalam bangunan dan empat serbuan judi tempat bebas.
“Seramai 97 individu dengan 20 daripadanya adalah warga emas ditahan. Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa berusia 18 hingga 75 tahun ditahan sepanjang operasi dijalankan.
“35 individu yang ditahan didapati mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah, polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam aktiviti perjudian serta wang tunai sebanyak RM40,197,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE