fbpx

1,000 peluang pekerjaan berkaitan tenaga kepada Bumiputera – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah ketika berucap pada diskusi Madani 3 bertajuk 'Mencipta Peluang Bumiputera dalam Peralihan Tenaga' pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Bidang berkaitan tenaga bakal menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sedang menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga.

Katanya, ini bertujuan bagi mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor-sektor industri dan komersial.

“Dijangkakan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar akan diwujudkan.

“Selain itu, penguatkuasaan akta ini juga akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar,” katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Diskusi Madani, Mencipta Peluang Bumiputera dalam peralihan Tenaga di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) memainkan peranan yang penting dalam usaha peralihan tenaga selain sebagai sumber tarikan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050, kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 berbanding 25 peratus pada masa ini.

“Usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan keterlibatan pihak kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran tersebut,” ujarnya.

Fadillah berkata, pelaksanaan inisiatif ini berupaya membuka lebih banyak peluang perniagaan dan potensi ekonomi baru untuk dimanfaatkan serta nikmati oleh semua pihak termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khusus usahawan bumiputera.

“Kesemua inisiatif ini merupakan pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program TBB, yang sekali gus membolehkan keterlibatan dan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam agenda peralihan tenaga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI