JAKARTA – Seorang wanita di Bekasi, wilayah Jawa Barat diseret sejauh 100 meter ketika cuba mengejar pencuri yang melarikan sebuah motosikal, lapor laman berita Detik semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Indah Agustiani, merupakan pekerja di sebuah sekolah memandu. Ketika kejadian, dia dikatakan cuba mendapatkan semula motosikal milik pelanggannya, Murniasih.
“Murniasih ketika itu mahu belajar memandu kereta bersama guru sekolah memandu berkenaan iaitu Indah.
“Mangsa kemudian melihat seorang pencuri melarikan motosikal Murniasih, menyebabkan dia mengejar suspek sambil menjerit ‘pencuri’.
“Sambil berlari, Indah memegang bahagian belakang motosikal, menyebabkan dia akhirnya terseret,” kata Ketua Polis Cikarang Barat, Komisioner Polis Gurnald Patiran.
Dalam kejadian itu, Indah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya dan dirawat di pusat perubatan setempat.
Tambah Gurnald, polis telah mengenal pasti identiti suspek dan akan memberikan kemas kini selanjutnya. – AGENSI