fbpx

Tiger Stripes, melangkaui dilema remaja datang bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGER STRIPES kini boleh ditonton menerusi platform penstriman Netflix.

BERKISAR tentang seorang remaja perempuan bernama Zaffan (lakonan Zafreen Zairizal) yang datang haid buat pertama kali dalam hidupnya dan akibat ‘luar biasa’ daripada kejadian semula jadi tersebut, Tiger Stripes garapan pengarah Amanda Nell Eu sememangnya layak diangkat sebagai antara filem terbaik tempatan tahun lalu. 

Kalau tidak, masakan naskhah bertemakan horror fantasi itu dipilih mewakili negara ke Academy Awards ke-96 bagi kategori kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik. Cuma sayangnya, tidak tersenarai dalam Top 5. 

Pertama sekali, menyentuh tentang pengarahan, Amanda melunaskan tanggungjawab dengan baik. Penulis dapat rasakan semangat feminisme disuntik beliau cukup mendalam dalam Tiger Stripes. 

Pelakon utama, Zafreen Zairizal melakonkan watak Zaffan dengan cukup cemerlang.

Barangkali, kaum Adam mengambil enteng soal kedatangan haid yang dialami kaum Hawa. Ingin memastikan penjagaan sentiasa dalam keadaan bersih bukan mudah apatah lagi, andai kejadian itu adalah yang pertama berlaku dalam hidup seseorang remaja wanita. 

Pengarahan ‘licik’ Amanda

Amanda bijak mencantumkan plot penceritaan. Misalnya, ada babak yang berkemungkinan membuatkan audiens hilang fokus, beliau isi atau tampal momen tersebut dengan adegan yang mengejutkan. 

Penulis secara peribadi kadang-kadang ‘tertipu’ dengan gaya pengarahan sedemikian namun itu adalah approach atau pendekatan yang tidak semua pengarah mampu jalankan tanpa membuatkan penonton berasa dibohongi. 

Dalam pada itu, Tiger Stripes juga mengangkat isu buli, tabu, (sedikit) keagamaan dan keibubapaan dengan cukup bergaya. 

Dalam konteks buli, dapat dilihat menerusi karakter utama Zaffan yang dipulaukan rakan-rakan termasuk rakan baiknya, Farah (Deena Ezral) dan Mariam (Piqa) hanya kerana kejadian datang haid yang menjurus ke arah misteri lain iaitu dirasuk saka harimau. 

Kontroversi agama dapat dilihat menerusi karakter Dr. Rahim (Shaheizy Sam), seorang yang berserban cuba memperkotak-katikkan agama demi kepentingan diri sendiri. 

Isi tersirat, mesej kuat

Berbalik soal dua perenggan terdahulu di atas, sinergi lakonan antara watak Zaffan, Farah dan Mariam adalah apa yang membuatkan Tiger Stripes begitu ‘bernyawa’. 

Rasa bagaimana tiga pelakon muda itu sudah lama mengabdikan diri dalam dunia lakonan. Bahkan, kualiti lakonan yang mereka cernakan adalah lebih baik daripada apa yang dicetuskan kebanyakan pelakon slot drama Akasia TV3. Natural, tidak ‘try hard dan selayaknya dipuji. 

Biarpun mendapat kritikan daripada segelintir peminat, Tiger Stripes tetap terkandung mesej tersirat yang sangat meninggalkan kesan.

Kendatipun, ada yang kurang berpuas hati dengan ending atau penamat filem ini yang bagi penulis itu adalah pilhan atau pendapat peribadi masing-masing. 

Barangkali apa yang ingin diterjemahkan pengarah adalah, jaga anak-anak gadis kita dengan baik jangan sampai menyesal di kemudian hari terbawa dengan deras arus media sosial terutama TikTok; sebuah medium kadang-kadang melalaikan. 

Apapun, Tiger Stripes terkandung kualiti tersendiri sebagai sebuah filem tempatan yang memberi rasa. Perlu tonton dengan berlapang dada dan pakai ‘kaca mata’ serta hadam isu tersirat ingin disampaikan. 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI