fbpx

Setahun tidak gosok gigi selepas ditahan scammer Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shirley (kiri) memegang laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan anaknya ketika ditemui di sidang akhbar berkenaan dua kes mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara bertempat di Uncle Lim's Cafe, di sini hari ini.

PETALING JAYA – Akibat terpedaya dengan pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan, seorang warganegara Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Sindiket tersebut didapati memperdaya mangsa menerusi iklan di media sosial seperti Facebook dengan menawarkan tiket penerbangan percuma, upah lumayan serta tempat tinggal selesa.

Ibu salah seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Shirley, 40, berkata, anaknya telah memohon pekerjaan sebagai seorang pembangun perisian di luar negara setelah melihat sebuah iklan di laman Facebook pada tahun 2022.

“Pada waktu itu, dia (anak) telah pergi ke Bangkok untuk tujuan kerja. Penerbangan semuanya ditaja oleh syarikat.

“Tetapi, sampai sahaja di Lapangan Terbang Bangkok, anak saya telah diacu dengan pistol dan dibawa tanpa rela ke Myanmar,” ulasnya.

Menurut Shirley, selepas kejadian tersebut, dia tidak boleh lagi menghubungi anaknya.

Difahamkan, dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit anaknya juga telah dirampas usai ketibaannya di Bangkok.

Bagaimanapun, Shirley berkata, anaknya berjaya menghubunginya semula melalui Facebook pada 15 Februari lalu.

“Anak saya merayu minta selamatkannya. Pada waktu itulah, saya diberitahu mengenai apa yang telah dialaminya selepas ketibaannya di Bangkok.

“Kini, anak saya berada di Kemboja dan sedang bekerja di sana. Saya sedih memikirkan nasib anak saya kerana dia ada menceritakan tentang nasibnya di sana.

“Anak saya sudah setahun tidak gosok gigi. Dia ditahan di sebuah rumah yang berkunci jadi dia tidak boleh melarikan diri.

“Bagaimanapun, di sana (Kemboja), anak saya mempunyai akses kepada telefon bimbit dan boleh menghubungi saya. Tetapi bagaimana dia mempunyai telefon bimbit, itu saya tidak tahu,” katanya.

Shirley berkata demikian ketika ditemui pemberita di sidang akhbar berkenaan dua kes mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara bertempat di Uncle Lim’s Cafe, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Timbalan Ketua PKR Segambut, Deric Teh berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak kerajaan dalam masa terdekat untuk menyelamatkan mangsa.

“Saya ingin nasihatkan orang muda agar tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan gaji yang lumayan.

“Siasat terlebih dahulu latar belakang syarikat. Minta pihak majikan buat permit kerja sekiranya ingin berhijrah ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI