PETALING JAYA – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan bahawa kesalahan menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim adalah satu kesalahan yang serius.
Beliau juga mengarahkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin untuk memohon maaf kepada Seri Paduka Baginda kerana telah melakukan kesalahan berat menyebut nama baginda dengan salah sewaktu berucap di Dewan Rakyat semalam.
“Pada semalam 28 Februari 2024 semasa berucap, YB (Yang Berhormat) Padang Serai telah salah menyebut nama Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kesalahan ini amat serius kerana ia diucapkan dalam dewan. Saya sebagai Speaker yang bertanggungjawab tidak kira sebelah kiri atau sebelah kanan mesti bertanggungjawab atas kesalahan-kesalahan yang telah YB sebut.
“Untuk itu, saya dengan ini memerintahkan YB bangun, memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Azman kemudiannya bangun dan membuat permohonan maaf serta berikrar kekhilafan seperti itu tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
“Terlebih dahulu, saya saya ingin memohon keampunan dan kemaafan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kekhilafan dan kesilapan saya semasa menyampaikan ucapan saya petang semalam kerana telah menyebut Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.
“Sepatutnya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Saya berikrar, kekhilafan seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen agar berhati-hati dalam pertuturan terutamanya membabitkan nama Yang di-Pertuan Agong dan berharap kejadian seperti semalam tidak berulang lagi. – KOSMO! ONLINE