KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Road to Gold (RTG) mendedahkan mereka sudah membelanjakan RM3.53 juta pada tahun lalu untuk lima jenis sukan yang tersenarai dalam program elit tersebut.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, daripada jumlah yang diumumkan itu, sukan badminton merupakan penerima terbesar apabila sudah menerima peruntukan RM1.82 juta bagi pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sementara itu, sejumlah RM1.06 juta sudah diberikan kepada pemain-pemain badminton profesional dalam memenuhi segala keperluan dan permintaan mereka yang berada dalam program RTG.
“RTG juga sudah membelanjakan sebanyak RM458,177.45 untuk sukan terjun, basikal RM465,239.66, hoki RM342,903.62 dan angkat berat RM20,025.44,” katanya kepada pemberita pada sidang akbar selepas mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar tersebut adalah Pengerusi Bersama RTG, Hannah Yeoh dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Terdahulu, RTG turut mengumumkan dua penerjun berpengalaman wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri disingkirkan daripada program elit itu selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam pada itu, penerjun tunggal negara yang layak ke Olimpik Paris, Bertrand Rhodict Lises menjadi nama baharu dimasukkan dalam RTG.
Setakat ini, RTG terdiri daripada 13 atlet dengan skuad badminton menguasai senarai tersebut seramai sembilan atlet, berbasikal trek (2 atlet), terjun (1 atlet) dan angkat berat (1 atlet). – KOSMO! ONLINE