LIPIS – Seorang remaja berusia 18 tahun maut akibat tertimbus tanah ketika mendulang emas berdekatan pembetung parit di kawasan ladang sawit Kampung Pantos, Sungai Koyan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan siasatan, mangsa, Budiman Johan, 18, pergi ke ladang sawit di Pos Pantos bersama beberapa rakannya untuk mendulang emas pada pukul 3 pagi semalam.
“Semasa mendulang, mangsa ada menggali tanah menggunakan tangan dan secara tiba-tiba tanah tempat mangsa gali terjatuh dan menghempap mangsa.
“Rakan-rakan membantu mengeluarkan remaja itu sebelum membawa mangsa pulang ke rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Azli, pemeriksaan pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Koyan di sini mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian remaja tersebut adalah disebabkan ‘asphyxia due to landslide’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE