fbpx

Rayuan Paul Yong kesalahan seksual diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paul Yong.

PUTRAJAYA – Nasib bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berhubung sabitan hukuman penjara 12 tahun serta dua kali sebatan yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu akan ditentukan esok di Mahkamah Rayuan di sini.

Pada prosiding yang dijangka pukul 9 pagi itu, keputusan rayuan tersebut akan dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah serta Datuk S. M. Komathy.

Pada 30 Januari lalu, panel terbabit selesai mendengar hujahan daripada peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul Yong dan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz.

Hisyam ketika berhujah menyatakan anak guamnya telah diprejudiskan apabila tidak diberikan peluang untuk berhadapan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

Ujarnya, Hakim Bicara terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.

Sementara itu, Fuah yang mewakili pendakwaan menghujahkan bahawa walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.

“Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa,”kata pendakwa raya itu.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Choo Kiong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara pukul 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul Yong menyatakan bahawa dakwaan rogol tersebut adalah satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kelebihan tiga undi.

Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.

Paul Yong diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember 2021. Beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas membenarkan rayuan Choo Kiong.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI