LUTON – Penggempur berbisa Manchester City, Erling Haaland berjaya kembali ke prestasi sebenarnya ketika meledak lima gol ketika membelasah Luton Town 6-2 pada aksi pusingan kelima Piala FA awal pagi semalam.
Bagaimanapun, bintang Norway itu enggan mendabik dada sebaliknya memberikan kredit buat rakan sepasukan, Kevin De Bruyne yang disifatkan sebagai seorang lagi watak penting kepada kejayaan pasukan.
“Kevin De Bruyne cukup hebat, dia sudah melakukan apa yang terbaik. Sudah pasti ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan untuk bermain bersamanya.
“Kami tahu apa yang kami dimahukan antara satu sama lain dan ia berjalan dengan baik. Saya kembali pada tahap terbaik dan kami cukup bersedia untuk melakukan serangan,” kata Haaland.
Haaland muncul pemain pertama dari pertandingan utama yang menjaringkan lima gol di Piala FA sejak George Best meledak enam gol ketika membantu Manchester United menang ke atas Northampton Town pada 1970.
Satu lagi gol The Citizens dihasilkan oleh Mateo Kovacic, manakala kedua-dua gol Luton Town dijaringkan oleh Jordan Clark.
Kejayaan tersebut memberi khabar gembira buat pengendali pasukan, Pep Guardiola selepas Haaland yang dihimpit masalah kecederaan hanya mampu menghasilkan lima gol dalam 11 perlawanan sebelum ini.
“Erling sedang berada pada prestasi terbaik dan Kevin pula begitu cemerlang. Mereka mmiliki keserasian, kedua-duanya saling memerlukan,” kata Guardiola. – AGENSI