IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan negeri itu tidak akan menjual air mentah kepada negeri lain melainkan hanya akan menjual air terawat.
Katanya, pendirian kerajaan negeri berhubung cadangan menjual air kepada Pulau Pinang masih sama dan tidak berubah.
“Pertama, kita tidak akan menjual air mentah kepada negeri lain melainkan hanya akan menjual air terawat. Kedua, apa jua ketetapan dalam soal ini, ia mesti tertakluk kepada kecukupan air untuk kegunaan rakyat Perak terlebih dahulu.
“Ini bermakna, jika untuk keperluan domestik pun tidak mencukupi, kita tidak akan menjual air ke negeri lain. Itu pendirian tegas kita sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri yang Ke-15 Perak di sini, hari ini.
Saarani bercakap tentang hal tersebut sebagai menjawab isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol daripada Pas, Razman Zakaria mengenai status cadangan penjualan air ke Pulau Pinang.
Katanya lagi, sama ada Perak hendak menjual air kepada Pulau Pinang atau tidak, negeri itu sememangnya perlu memindahkan air dari Sungai Perak ke kawasan utara negeri untuk menyelesaikan isu pengairan di sekitar Bukit Merah. – KOSMO! ONLINE