GELARAN berganda sudah diraih pasukan Tenaga Nasional Berhad pada saingan musim ini apabila muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 selepas membelasah JM Antsbees 22-1 malam kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan TNB menamatkan penantian selama 21 tahun untuk menjadi juara liga selepas kali terakhir melakukannya ketika mereka menjuarai kempen 2003.
Mereka juga kini selangkah sahaja lagi untuk mencapai sasaran meraih gelaran trebel selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 menerusi penentuan shootout awal bulan ini.
Kapten TNB, Syed Syafiq Syed Cholan mengaku, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu berada pada landasan terbaik untuk melakar sejarah tersendiri dengan memenangi trebel buat kali pertama menjelang aksi Piala TNB nanti.
“Syukur Alhamdulillah kerana kami sudah semakin hampir dengan sasaran mendapatkan tiga kejuaraan musim ini. Sekarang sudah dapat dua dan kami berpuas hati dengan gelaran liga yang dimenangi.
“TNB tidak pernah meraih gelaran trebel sebelum ini, jadi kami mahu lakukannya buat kali pertama. Kami juga berada dalam landasan terbaik dan diharapkan semua pemain dapat kekalkan momentum dan prestasi,” katanya.
Pada masa sama, penyerang TNB, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal turut mempertahankan status sebagai penjaring terbanyak liga apabila meledak 23 gol dalam saingan musim ini.
Sementara itu, Nor Saiful meletakkan sasaran untuk melangkah ke perlawanan akhir pada saingan Piala TNB nanti berdasarkan prestasi yang ditampilkan barisan pemainnya dalam aksi liga.
“Jika dilihat pada corak permainan TNB, memang kami menantikan aksi tersebut pada saingan Piala TNB nanti. Saya mahu semua pemain kekalkan momentum sehingga ke perlawanan akhir nanti,” ujar legenda hoki tanah air itu.