KLUANG – Seorang penjaga kebun buah-buahan di Kampung Sri Impian di sini terpaksa menyorok dalam almari selepas dikejutkan dengan ‘kunjungan’ kira-kira 30 ekor gajah liar, malam semalam.
Ambe Bujang, 60, berkata, kejadian berlaku pada pukul 2 pagi ketika dia sedang nyenyak tidur di dalam pondok yang dibina khas sebagai tempat berteduh di dalam kebun seluas kira-kira lima ekar tersebut.
Sebaik mendengar bunyi bising, dia menjenguk melalui tingkap sebelum melihat kawanan gajah sedang merosakkan barang-barang kebun.
“Melihat keadaan itu, seluruh tubuh saya menggigil lalu menyorok dalam almari bagi memastikan keselamatan diri selain jauh dari jangkauan gajah.
“Ketika itu saya mendengar bunyi dinding diketuk dan ditarik sehingga pondok bergoyang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Ambe, sejak bekerja di kebun itu lima tahun lalu, sudah beberapa kali pondok tersebut didatangi gajah liar, namun kejadian ini paling menakutkan kerana jumlahnya banyak.
Tindakan gajah merosakkan barangan pertanian itu mungkin berpunca kerana ketiadaan makanan memandangkan bukan musim buah-buahan selain pokok sawit juga tinggi.
“Syukur tiada apa-apa yang berlaku terhadap saya, untuk mengelakkan kejadian berulang saya akan membawa masuk lebih banyak tayar terpakai dan membakarnya sedikit demi sedikit malam nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE