fbpx

LHDN: Rayuan Muhammad Shafee dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

PUTRAJAYA – Peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah gagal mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara membatalkan rayuan Muhammad Shafee selepas berpuas hati tiada bidang kuasa mendengar rayuan tersebut.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong turut memerintahkan peguam itu membayar kos RM10,000 kepada LHDN.

Muhammad Shafee diwakili peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wee Yeong Kang, manakala Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus, Norhisham Ahmad, Norzilah N. Hamod @ Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd. Ghause bertindak bagi pihak LHDN.

Sementara itu, Rajan ketika ditemui memaklumkan Muhammad Shafee berhak untuk mengemukakan tuntutan baharu.

Pada 13 April 2023, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memfailkan tuntutan balas terhadap saman LHDN selepas membenarkan bantahan awal Kerajaan Malaysia melalui LHDN.

Mahkamah Tinggi ketika itu berpuas hati, tuntutan balas Muhammad Shafee bukan berasaskan kepada tunggakan cukai pendapatan, sebaliknya atas dakwaan niat jahat (mala fide) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Roz Mawar berpendapat, asas permohonan tersebut tidak tertakluk dalam skop dan peraturan yang membolehkan tuntutan balas dibenarkan.

Dalam keputusannya, Roz Mawar turut menyatakan, SPRM dan AGC bukan pihak-pihak dalam prosiding itu dan sebarang isu berhubung `niat jahat’ perlu diselesaikan melalui jalan lain.

Ujar beliau, kes undang-undang berkaitan cukai di negara ini menyatakan bayaran perlu dijelaskan terlebih dahulu yang mana prinsip `bayar dahulu, sembang kemudian’ adalah predominan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI