fbpx

KPM proaktif pastikan Bahasa Melayu dimartabat warga sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa proaktif dalam memastikan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah oleh warganya.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, melalui penggunaan bahasa Melayu, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid sejak peringkat prasekolah hingga menengah.

Kenyataan itu bagi merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan bidang pendidikan.

Selain itu, KPM memaklumkan pihaknya sentiasa memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Dasar Pendidikan Digital (DPD) dirangka bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di mana sahaja.

“Selaras dengan perjanjian Malaysia 1963, KPM turut komited dalam meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam memastikan pendidikan di kedua-dua negeri tersebut dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua warga pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi melahirkan murid yang berkemahiran tinggi dan dapat memenuhi keperluan industri dan negara, KPM akan terus memperkasa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (STEM).

“KPM juga telah menyediakan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut.

“Seiring dengan usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membantu mengurangkan bebanan ibu bapa, pelbagai bantuan persekolahan disediakan termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan
Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM),” jelasnya.

Tambahnya kenyataan itu, dalam usaha meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti pula, pendidikan karakter dan manusiawi turut diberikan perhatian di samping penekanan kepada aspek karamah insaniah.

“Menyedari kepentingan pendidikan bagi setiap warganegara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang, KPM telah melaksanakan langkah awal dalam menyelaras pendidikan prasekolah di Malaysia agar isu keciciran ditangani dari peringkat awal.

“KPM akan terus berusaha untuk memastikan saranan Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI