PETALING JAYA – Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) supaya lantikan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) baharu diputuskan dalam masa terdekat.
Presiden KKLTAT, Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah berkata, langkah itu dibuat berikutan peletakan jawatan tiga pegawai tertinggi lembaga tersebut termasuk ketua eksekutifnya baru-baru ini.
Beliau mengharapkan agar individu yang dipilih kelak merupakan seorang yang berwibawa, berintegriti serta berpengalaman luas dalam bidang pelaburan dan korporat.
“Pelantikan ketua eksekutif yang baru amat penting bagi memastikan kewangan dan ekonomi LTAT dikendalikan dengan lebih bijak, terurus dan berintegriti.
“Kami juga berharap agar pihak kerajaan dapat memberi kerjasama, sokongan, ruang dan peluang kepada LTAT untuk membuat pelaburan yang lebih berdaya saing,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Sebelum ini Ketua Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif LTAT pada 31 Januari 2024, manakala Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selaku Pengerusi LTAT berbuat demikian pada 8 Februari 2024.
Beberapa hari selepas itu, Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar pula dilapor mengemukakan surat peletakan jawatan.
Zulharith berkata, LTAT harus kekal selama-lamanya demi memberi manfaat dan faedah-faedah kepada pencarum-pencarum yang terdiri daripada golongan tentera.
“Kami juga berharap Syarikat Kumpulan LTAT seperti Boustead Holdings Berhad dan Perbadanan Milik Penuh LTAT iaitu Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dikekalkan peranan masing-masing.
“Selain itu, sebarang sokongan juga perlu dipertingkatkan agar dapat memberi pulangan yang terbaik kepada LTAT,” ulasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LTAT sedang memuktamadkan calon yang layak dan berkredibiliti untuk mengisi jawatan Ketua Eksekutif LTAT dalam kalangan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Kementerian Pertahanan komited untuk terus memantau dan memastikan operasi serta strategi yang telah dirancang bagi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan diteruskan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE