fbpx

Enam tekad, tiga ikhtiar digaris capai TEB – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika berucap pada perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggariskan enam tekad dan tiga ikhtiar bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB).

Timbalan Perdana Menteri berkata, tekad itu merupakan mempertahankan agenda bumiputera, menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda bumiputera serta mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok.

Selain itu, turut digariskan iaitu mengenal pasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu masa hadapan, mewujudkan jalinan tulen ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera serta menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain.

“Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan.

“Contohnya, pemilikan dan penguasaan dalam sektor korporat bumiputera yang hanya berada pada tahap 17.2 peratus. Sungguh pun sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sasaran 30 peratus telah ditetapkan, kita tidak boleh menghentikan usaha ini.

“Malah semua pihak yang terlibat dengan agenda bumiputera harus mengambil tanggungjawab bersama. Agensi pelaksana perlu terus laksanakan mandat dan tidak lupakan asas penubuhan mereka,” katanya ketika berucap pada perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, hari ini.

Berhubung ikhtiar pula, Ahmad Zahid memaklumkan, ia melibatkan cadangan mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera yang bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Katanya, ikhtiar kedua merupakan Waqaf Kesihatan dan Pendidikan Bumiputera yang akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada Bumiputera.

“Ikhtiar ketiga adalah mengindustrikan pertanian melibatkan bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI