SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan melakukan bayaran balik pinjaman 248.7 juta bagi projek penggantian paip air lama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tahun 2031.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua pinjaman yang dibuat dengan kerajaan negeri tersebut tidak dikenakan sebarang faedah atas pinjaman.
Katanya, pinjaman itu dijadualkan untuk dibayar balik secara ansuran selama 20 tahun selaras dengan terma dan syarat yang dipersetujui sebelum ini.
“Bayaran pinjaman balik ini hanya dimulakan selepas tempoh 10 tahun daripada tarikh permulaan pengeluaran pertama pembiayaan.
“Kerajaan negeri komited untuk mengutip semula baki pinjaman yang terhutang oleh Air Selangor bermula pada tahun 2013,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Harrison Hassan (PN -Jeram) bagi mengetahui bayaran balik pinjaman Air Selangor.
Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menegaskan amaun ansuran yang pertama berjumlah RM7.175 juta.
“Pada tahun seterusnya (bayaran) berjumlah RM12.43 juta setahun bermula tahun 2032 sehingga 2046,” katanya. -KOSMO! ONLINE