SHAH ALAM – Dana Bantuan Guaman Selangor berkaitan kes syariah berjumlah RM700,000 akan diperkenalkan selewat-lewatnya Mac ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, peruntukkan dana tersebut adalah turut meliputi bagi kes pekerjaan dan sivil.
Katanya, perbincangan lanjut masih dijalankan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) termasuk dari segi klausa bagi memuktadkan berhubung dana kes syariah itu.
“Kes syariah ini adalah kategori baharu yang diwujudkan bagi Dana Bantuan Guaman ini dan kita berharap dalam satu atau dua minggu ini dapat diselesaikan.
“Berdasarkan maklumat didapati banyak wanita tidak mahu ‘fight’ dalam kes nikah cerai dan hadanah (hak jagaan anak) disebabkan kos guaman,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, ketika ini permohonan dana bagi kes sivil dan pekerjaan boleh dilakukan melalui Pusat Khidmat DUN) sebelum disalurkan kepada Majlis Peguam Selangor (SBC).
Ujarnya, tanggungan subsidi juga dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM1,500 bagi menarik lebih ramai peguam SPC mengambil sesuatu kes tersebut.
“Kalau ikut tahun lalu, dana adalah sebanyak RM1 juta namun penggunaannya rendah yang berkemungkinan kurangnya promosi kepada masyarakat.
“Namun, ada juga situasi pemohon menarik diri secara tiba-tiba apabila kes sudah bermula dan menyelesaikan (secara baik) di luar mahkamah,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Lim Yi Wei (PH – Kampung Tunku) pada sesi pertanyaan persidangan DUN, Anfaal menjelaskan sebanyak 46 permohonan diterima keseluruhannya bagi kes sivil dan kekeluargaan sejak Dana Bantuan Guaman Selangor diwujudkan pada 2022. – KOSMO! ONLINE